DEGUPJANTUNG

May 23, 2011

Cerpen ~ Ahmad Honey~



Hai. Nama aku Ahmad. Boleh panggil aku Mad. Kalau nak makan penampar, boleh panggil aku Ah. Ada berani?

Aku tak suka cerita kisah hidup aku pada orang lain. Aisya yang beriya-iya suruh aku tulis kisah cinta aku dekat blog dia. Dia kata kisah cinta aku menarik untuk jadi inspirasi. Berkali-kali aku elak, tapi Aisya ni pandai pujuk aku. Biasalah lelaki, pantang perempuan pujuk mesti cair punya. Akhirnya, aku setuju.

Kau rasa apa yang menariknya kisah cinta aku? Hmm.. biar aku berterus terang. Aku ni tak sekacak lelaki yang kau mimpikan. Aku lelaki biasa-biasa. Belajar pun setakat SPM je. Muka aku tak bersih, ada jerawat sebiji dua. Kulit aku gelap, tapi hati putih. Aku tinggi macam model. Badan sedang-sedang. Tak gemuk tak kurus. Sesuai nak jadikan bantal peluk. (tawaran untuk perempuan sahaja)

Tapi, awek aku lawa gila. Cun tahap dewa. Kau pernah tengok Lisa Surihani kan? Kau kenal Fasha Sandha kan? Kau tahu siapa Liyana Jasmay kan? Ya, awek aku adalah gabungan ketiga-tiga artis artis yang aku sebut tadi. Seayu Lisa, menggoda macam Fasha, comel macam Liyana.

Macam yang aku cakap tadi, aku biasa-biasa je. Aku ni mekanik. Harta yang aku ada selain agama dan mak bapak aku ialah motor. Tu pun baru beli dua tahun lepas, cash. (berdehem). Aku duduk dekat Masjid Tanah. Kerja-kerja kampung ni dah jadi rutin aku. Rasanya lembu, kerbau dan kambing dekat kampung ni semuanya kenal aku. Harap-harap diorang kenal aku sebab keprihatinan aku dekat diorang lah. Dan bukan sebab muka aku yang lebih kurang macam diorang. (mengeluh)

Tapi, awek aku anak orang kaya. Kategori kaya lah kan kalau dalam akaun ASB dia ada 200k. Paling busuk pun dividen dengan bonus tahunan dia dapat 12k. Akaun ASB mak apak dia mestilah lagi banyak. Tapi aku tak pernah tanya sampai ke situ. Aku bukan kejar harta mak apak dia. (berdehem)

Awek aku belajar dekat New Zealand. Tahun depan dia habis belajar. Bolehlah kahwin. (sengih).

Baik, cukup setakat tu tentang aku dan awek aku, Honey Kaisara. Apa yang kau boleh jadikan inspirasi melalui cerita aku?

Mula-mula aku jumpa Honey Kaisara dekat 7-E Masjid Tanah. Dia beli slurpee. Dengan baby T warna hitam, jeans biru dan jam Baby G, dia nampak comel sangat. Tapi, aku terkedu sebab aku tengok dia masuk kereta Swift. (mengeluh) Anak orang kaya, mana nak dekat aku. Lawa pula tu. Aku pandang je kereta dia berlalu sambil doa dalam hati nak jumpa dia lagi.

Esoknya, aku nampak Swift dia parking dekat CIMB Masjid Tanah. Terbeliak mata aku tengok dia. Dia pakai baju kurung warna merah jambu. Ye, dia nampak sangat jambu. Aku rasa nak bawa dia jumpa mak aku masa tu juga. Tapi, aku sedar aku siapa. Aku miskin, dia kaya. Aku tak tampan, dia menawan.

Tiba-tiba, datang Leman sewel kacau Honey. Leman sengih-sengih gatal dekat Honey. Aku nampak muka Honey berubah. Dahi berkerut,tapi masih nampak comel. Leman sewel memang suka kacau perempuan. Walaupun sewel, tapi high taste jugak. Kacau anak dara yang comel je. Mak-mak dara tak kacau. Leman sewel ni kalau sengih boleh buat orang muntah. Gigi rongak mulut busuk. Ada hati nak cium anak dara orang.

Hah?? Cium? Leman sewel suka cium anak dara orang!

Tidakkkkkkkkkkkkkkkkkkkk!!

“Leman, aku ada duit”

Ya, suara jantan aku kuat betul sampai situasi kat situ macam kena ‘pause’.

Fuhh. Nasib baik Leman sewel tak sempat muncungkan mulut kat awek aku. Ehem bakal awek aku. Ehem.. (apa yang kita cakap, semuanya doa)

“Nah, RM5. Pergi makan KFC.”

Leman sewel sengih-sengih. Nampak duit, terus lupa nak cium Honey. Kan aku dah cakap Leman ni high taste. Mata duitan. Leman sewel tolak bahu aku dan terus blah. Tolak bahu tu maksudnya ‘kawan’. ‘Kawan’ bagi Leman, ‘terima kasih’.

Aku kembali pandang Honey. Masa, tolonglah berhenti berputar. (istilah sesuai untuk masa, berputar atau bergerak? Atau aku patut guna perkataan berlalu?)

Honey ucap terima kasih dekat aku. Dia pegang lengan sasa aku kuat-kuat sambil ulang ucapan terima kasih. Dia berbudi bahasa. Ya, dia berbahasa lepas aku berbudi pada dia. Aku terkedu. Apa yang Honey cakap aku memang tak dengar. Sebabnya, aku khusyuk tengok dia. Memang cantik sangatlah. Aku baru nak buka mulut tanya dia pakai kosmetik apa boleh dapat muka cantik macam tu, Honey tiba-tiba hulur duit dekat aku. Gurlp.

Aku ambil duit tu. Pandang duit tu lama-lama. Bila angkat kepala, Honey dah tak ada. Hmm.. (mengeluh sambil geleng kepala).

Seminggu lepas tu, Honey datang bengkel aku. Dia cari aku dekat bengkel. (berdehem) Sebenarnya, dia teman kawan dia ambil kereta kat bengkel aku. (bengkel tempat aku kerja, bukan bengkel aku) Aku senyum pandang dia. Dia senyum pandang aku. Lepas tu, aku dengar lagu Hindustan. Eh tak, aku dengar dia panggil aku. Aku ada nama baru. Nama baru yang dia bagi. Nama baru aku, “awak”. (sengih)

Dia duduk sebelah aku. Rapat sangat dengan aku. Aku cuba kembangkan hidung nak hidu bau badan sendiri. Segan pulak kalau dia tahu aku busuk. Yelah, aku mekanik kampung je. Tak wangi-wangi macam dia. Tapi, tengok dia selamba je, maknanya aku tak busuk lah kan? (ketawa bangga)

Aku dan dia berborak-borak. Dia tanya sepatah, aku jawab sepatah. Dia senyum, aku senyum. Dia ketawa, aku senyum bahagia. Dia ketawa comel, sebab tu aku senyum bahagia. Dia ajak aku makan. Dia nak belanja, nak balas budi sebab tolong dia dari ciuman Leman sewel. Aku senyum. Aku keluarkan duit hari tu dari poket. Sumpah. Aku tak sanggup nak guna not RM100 yang dia bagi tu. Sayang. Walaupun aku miskin, tapi aku tak terdesak. Aku nak pulangkan duit tu. Aku tolong ikhlas. Ikhlas nak tolong dia. Tolong dia bukan sebab dia cantik. Tapi mak aku ajar buat baik.

Dia senyum. Aku rasa nak pengsan. Dia asyik senyum je. Buat aku nak gila. Dia minta handphone aku. Aku keluarkan handphone cabuk aku. Dia dail nombor. Lepas buat signal tangan dekat telinga, dia senyum dan blah. Aku terkedu. Dia suruh aku call dia.

Dia bagi nombor. Dia suruh aku call dia. Ohh bahagianya…

Sejak itu, aku dan Honey jadi kawan. Aku suka dia sebab dia tak kisah aku siapa. Dia tak kisah minum teh tarik dan makan roti canai dekat mamak. Dia tak kisah lepak dekat bengkel aku. Dia tak kisah ikut aku jaga lembu kambing. Dia tak kisah aku tarik dia masuk sawah. Dia tak kisah makan sambal belacan dengan mak aku. Dia tak kisah tolong mak aku siang ayam.

Honey tak kisah. Mak aku suka dia. Abah aku suka dia. Aku suka dia.

Beberapa bulan kemudian, Honey call aku pukul 2 pagi. Menangis. Teresak-esak dia menangis. Dia cakap, dia kena pergi New Zealand. Sambung belajar. Aku ketawa. Dia menangis sebab gembira rupanya.

“ Saya sayang awak. Saya nak sentiasa dekat dengan awak.”

Aku berhenti ketawa. Apa? Honey sayang aku? Nak sentiasa dekat dengan aku?

“Tolong pujuk papa. Janji dengan papa awak akan jaga saya”

Gurlp. Apa ni main papa-papa pulak.

Honey diam. Aku pun diam.

“Takpelah. Honey tahu Ahmad anggap Honey macam adik je. Kita lupakan apa yang Honey cakap tadi, ye”

Eh eh nanti! Itu suara hati aku. Lama kami diam, barulah aku bersuara.

“Ahmad pun sayang Honey. Honey pergilah belajar sana. Ahmad tunggu sampai Honey habis belajar. Ahmad janji”

Aku dengar dia menangis lagi. Sebak hati aku dengar bakal isteri aku (yakin) menangis.
Tersekat-sekat dia bersuara.

“Ahmad jangan lupa Honey. Honey mesti rindu Ahmad”

Aku senyum. Air mata bergenang. Alamak, macam mana nak cover suara ni.

“Ahmad takkan lupa Honey. Lagipun, takde siapa nak dekat Ahmad kecuali Honey sorang”

Dia ketawa manja. Lega. Aku senyum. Air mata aku pula yang jatuh.

Sebelum Honey berangkat ke new Zealand, kami ikat tali pertunangan. Masa majlis tu, dato’ datin yang hadir pandang aku semacam. Dalam kepala diorang mungkin ada ayat macam ni :

“Kenapalah Honey pilih budak ni? Anak I jauh lagi bagus”

“Mesti budak miskin ni dah bomohkan Honey”

“Mekanik je?? Nak bagi Honey makan apa?”

Aku malu. Aku malu dengan diri sendiri. Aku rasa rendah diri. Aku sedih tengok mak aku. Semua orang pandang mak. Mak takde barang kemas macam datin-datin tu. Tapi, aku tengok mak cool je. Mak buat muka selamba.

Papa Honey merestui hubungan kami. Memang mulanya aku terkejut. Macam nampak mudah sangat cerita cinta kami. Bukan sepatutnya, aku aku akan ditengking dimaki dihamun oleh keluarga Honey ke? Bukan sepatutnya akan bangkit soal darjat dan status ke? Bukan dalam cerita Melayu, Honey kena ajak aku kahwin lari? Lepas tu, kitorang dah beranak pinak baru jumpa balik keluarga Honey. Bukan selalunya macam tu ke?

Tidak. Masih ada Melayu yang rendah diri. Macam Honey. Papa Honey pun dulu miskin macam aku. Mama Honey dulu cantik dan merendah diri macam Honey. Mereka jatuh cinta. Cinta dua darjat mereka tak dihalang keluarga. Jadi, secara adatnya, mereka juga tidak menghalang cinta aku dan Honey. Alhamdulillah.

Kau tahu kenapa cerita aku perlu jadi motivasi? Sebab, kawan-kawan aku tak percaya aku boleh dapat Honey. Aku bukan siapa-siapa kan? Dan aku tak gunakan khidmat tok bomoh untuk pikat Honey. Kenapa Honey pilih aku? Ramai lagi jejaka kacak yang kaya dan bijak yang lagi pantas untuk Honey. Tapi, kenapa aku yang mesti jadi pilihan Honey?
Jawapan Honey:

1. Ahmad tak pernah marah Honey.
2. Ahmad tak pernah kecewakan Honey.
3. Ahmad jujur.
4. Ahmad sederhana.
5. Ahmad selalu buat Honey senyum.
6. Ahmad tak pernah minta/pakai duit Honey. Sebab tu kita selalu makan di mamak sebab hanya setakat tu kemampuan Ahmad.
7. Ahmad suka bukakan pintu kereta untuk Honey.
8. Ahmad akan tarikkan kerusi untuk Honey duduk.
9. Ahmad akan pujuk kalau Honey sedih.
10. Ahmad tak pernah tak boleh tolong Honey.
11. Ahmad selalu ada bila Honey perlu Ahmad.
12. Ahmad tak pernah sentuh Honey.
13. Ahmad baik hati.
14. Ahmad suka jadi diri sendiri.
15. Ahmad tak pandai menipu.
16. Ahmad berani dan sanggup buat apa sahaja untuk Honey.
17. Ahmad pandai ambil hati Honey.
18. Ahmad tak pernah paksa Honey ikut cakap Ahmad.
19. Ahmad pemalu.
20. Ahmad boleh jadi imam solat berjemaah.


Sebenarnya, semua tu hanyalah sampingan. Sebab utama Honey pilih Ahmad ialah:

Honey sayangkan Ahmad. Sayang sangat. Sangat-sangat sayang…
Ahmad lelaki paling hebat.

Apa yang hebatnya aku? Aku tak pernah cuba menjadi luar biasa untuk pikat Honey. Malah, aku tak pernah bermimpi dapat memiliki Honey. Aku jadi diri sendiri. Aku percaya dengan kelebihan aku. Dan aku tak malu mengaku kelemahan aku.

Aku tak rasa aku perlu ego. Honey tak pernah merendah atau memperbodohkan aku. Honey buat aku rasa pandai dan bijak sentiasa. Dia menghargai setiap pandangan aku. Dan sebab itu, aku rasa dihargai. Aku cuba belajar demi perhubungan kami. Honey tak paksa. Tapi, niat tu datang secara semula jadi. Untuk kebaikan kami.

Aku tak pandai jiwang-jiwang dengan Honey. Aku tak pernah bagi kad pada Honey. Aku tak banyak duit nak bagi bunga pada Honey. Tapi, Honey tetap sayang aku. Kenapa? Sebab aku jadi diri aku sendiri. Aku tunjukkan kasih sayang aku dengan perhatian aku. Aku sentiasa ada setiap kali Honey perlukan aku. Aku bersikap adil pada Honey. Aku tak pentingkan bola, atau kawan-kawan aku kalau masa itu memang sepatutnya waktu aku menemani Honey.

Aku hanya jadi diri aku sendiri. Aku hanya jadi baik. Bukan sebab Honey tapi sebab Allah memang suruh kita buat baik dengan semua orang.

Aku tak pernah marah Honey kalau dia merajuk. Itu sifat budak-budak macam Honey. Aku tak pernah pinjam duit dia, walaupun dia banyak kali nak bagi. Bukan aku ego, tapi aku tak perlukan duit yang banyak. Rezeki aku cukup. Berkat. Aku takkan meminta-minta tapi aku akan cuba memberi. Aku tak akan ambil kesempatan ke atas Honey. Aku menghormati Honey. Sebagaimana dia menghormati kehidupan orang miskin macam aku.

Aku tak pernah berlagak gagah perkasa dan konon berani mengharungi segalanya untuk dia. Aku takut untuk berjanji. Takut kalau tak mampu tepati janji. Aku takut mengkhianati janji. Apa yang aku mampu, aku lakukan. Aku hanya mencuba sedaya yang aku mampu. Aku cuba dan terus mencuba.

Jadi, kau sebagai lelaki hanya perlu jadi diri sendiri. Mula-mula masa nak memikat kau mungkin sanggup lakukan apa sahaja, tapi bila dah dapat? Aku tak rasa kau boleh bertahan. Kau akan kembali ke kehidupan lama kau. Dan, si dia mesti akan kecewa sebab kau tak seperti yang diharapkan.

Kau harus percaya dengan kelebihan diri kau. Jangan malu untuk akui kelemahan dan sentiasalah membaiki diri. Kau mahu yang terbaik bukan? Kau harus mencuba jadi yang terbaik dulu.

Chow!

~Ahmad~



Photobucket

2 comments: