DEGUPJANTUNG

Jan 4, 2011

memori ulam pegaga..~ part 2


Kami seterusnya dibawa ke sebuah rumah. Pertama kali melangkah ke rumah itu aku terasa seakan hendak termuntah. Loya tekakku dengan bau masam yang menusuk hidung. Botol-botol kosong bersepah di atas lantai. Paling memeranjatkan, aku ternampak seorang lelaki yang hanya berseluar pendek tidur di pangkuan seorang gadis yang juga sedang enak diulit mimpi. Aku beristigfar di dalam hati. Apa ertinya semua ini? Inikah keseronokan yang dicanang Farhah? Kebebasan tanpa batasan. Kemajuan yang melanggar hukum Tuhan. Kemewahan hasil bekerja dengan syaitan!

Aku menggesa Farhah menerangkan segalanya. Dengan bangga dia memberi jawapan. Hidup untuk keseronokan. Selamba Farhah menegakkan prinsip hidupnya sebagai pelacur murahan. Aku terdiam. Saat itu juga lelaki tadi merangkul pinggangku. Orang baru, kita perlu cuba. Ungkapan yang membuatkan hatiku berdebar-debar sehingga tanpa sedar aku menendang kakinya dan terus melarikan diri demi menyelamatkan maruah diri ini. Berbekalkan kudrat seorang gadis, aku berusaha mencari kawasan yang dapat menyelamatkan aku dari neraka dunia itu. Kakiku berdarah akibat terpijak serpihan kaca sewaktu berlari di lorong gelap tadi. Aku berhenti di hadapan sebuah klinik 24 jam. Mengurut-ngurut kakiku yang masih berdarah. Pedihnya masih terasa tetapi pedih lagi hati ini bila mengenangkan peristiwa tadi. Inilah padahnya mengingkari kata emak. Ya Allah…

Teguran seorang lelaki beruniform putih mengejutkan aku. Dia menyentuh perlahan kakiku yang luka lalu terus membantuku masuk ke klinik. Dengan bantuan seorang jururawat, kakiku dibalut kemas setelah disapukan ubat antiseptik. Doktor tadi mempelawa aku bekerja dengannya. Aku terkesima. Memang gembira tapi hatiku tertanya-tanya. Mengapa dirinya begitu baik terhadap aku yang baru dikenalinya?

Rupa-rupanya, inilah lelaki segak yang memerhatiku di stesen bas petang tadi. Dia memperkenalkan namanya sebagai Doktor Zarif Danial. Dia sudah mengagak aku akan terpedaya. Dia cukup kenal dengan Farhah, yang selalu berpeleseran dengan ramai lelaki di kawasan ini. Dia juga sudah melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai kegiatan tidak bermoral mereka. Aku hanya tunduk membisu namun dalam hatiku tetap meluahkan rasa syukur ke hadrat Illahi kerana masih berkesempatan mencipta bahagia. Bermula saat itu, aku menjadi Ain Zulaikha yang baru. Isteri solehah dan wanita bekerjaya.

Kini, aku kembali sendiri. Suamiku Zarif dan anak tunggal kami, Zalikha meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya empat tahun lalu. Rumah banglo milik kami menjadi saksi cinta kami. Dia terlalu banyak mengubah kehidupanku. Kasih sayang, cinta dan pengorbanan yang tidak berbelah bagi. Biarpun hanya sempat bersama seketika, tetapi semua itu telah mengukir kenangan yang sangat indah untuk dikenang. Malah, dia juga memintaku pulang ke pangkuan emak semula. Amanatnya untukku adalah utusan salam terakhir buat emak mentua daripada seorang menantu. Sabarlah abang…suatu hari nanti Ain akan menunaikan permintaan itu.



Dentingan jam mematikan lamunanku. Ah, usah ditunggu lagi! Aku perlu sujud di kaki emak dan menemaninya semula seperti 10 tahun dahulu. Aku ingin menikmati rahmat dan berkat bulan Ramadhan tahun ini bersama emak sebelum terlambat. Aku ingin menyampaikan amanat abang Zarif sebelum terlewat. Aku ingin pulang. Memutar kembali masa supaya dapat menggembirakan hati emak. Tanpa berlengah, aku mengemas pakaianku ala kadar dan bergegas pulang ke kampung. Tidak sabar rasanya untuk bertemu emak. Terbayang-bayang wajah tua emak di mindaku yang melambai-lambai memanggilku pulang.

Keretaku berhenti di hadapan laman rumah yang bersih seperti dahulu. Rumah emak tertutup rapat. Tubuhku seraya lemah. Aku terasa sebak yang teramat. Aku kuatkan hati dan melangkah perlahan ke dapur. Bau lauk kegemaranku menusuk kuat. Aku memandang keadaan dapur yang bersih. Periuk yang masih panas menandakan lauk itu baru dimasak. Ada beberapa ikat ulam pegaga tersedia di atas pinggan. Aku terkejut bila terdengar namaku dipanggil emak. Pantas aku mencari emak. Ya Allah! Emak…tubuh emak yang terbaring di atas sejadah lama ku peluk. Dada emak berombak perlahan. Aku meraung sekuat hati sambil air mataku tidak henti-henti mengalir.

“ Mak tahu Ain akan balik hari ini. Makanlah lauk kegemaran Ain tu. Ada ulam pegaga untuk Ain. Emak sayang A…ain…”
Suara emak yang tersekat-sekat begitu menyentuh hatiku. Dan selepas itu, mata emak terpejam rapat. Tangannya yang tadi megang pipiku terus terkulai layu.

Ampunkan Ain, emak!!!!!!


Aku merenung pusara emak yang masih merah. Terasa seakan tidak mahu berganjak dari situ. Sekuntum bunga kemboja gugur di pusara emak. Teringatku akan ulam pegaga. Muncul wajah emak bersama segala memori indah itu. Semoga rohmu dicucurkan rahmat. Amin.


Lambaian pepohon nan rendang..
Ibarat lambaianmu bersama sepohon kasih sayang..
Titisan hujan menimpa bumi..
Ibarat titisan air mata yang berisi kesengsaraan..

Halus tanganmu membelai helaian mahkotaku..
Lembut kucupan yang singgah di pipiku..
Menjadi lambang cintamu..
Yang tidak pudar dari kotak ingatanku..

Bingkisan puisi ini ku utus khas untukmu..
Dari hati yang tulus..
ikhlas bersama doa yang kudus..
ku panjatkan kesejahteraan buat dirimu..
moga kau masih mengingati anak tinggalanmu ini..


Klik sini untuk baca part 1. Tengs!



ilham dari hati : hargailah ibu bapa selagi mereka masih ada...^_^.

No comments:

Post a Comment