DEGUPJANTUNG

Dec 28, 2010

memori ulam pegaga~..part 1


Aku menggeliat malas di atas katil. Cahaya matahari yang menerobos masuk ke kamar amat meyilaukan mataku. Tanganku mencapai cermin mata yang terletak di atas meja sebelah katilku. Tersentak aku melihat jarum jam yang sudah menunjuk ke angka 10. Tidak pernah aku bangun selewat ini biarpun pada hari minggu. Kerjayaku sebagai ahli perniagaan benar-benar telah membataskan pergerakanku. Setiap hari sibuk memastikan kehendak pelanggan dipenuhi sedangkan keperluan diri sendiri terabai. Tiada masa bersosial mahupun beriadah.

Hari ini, aku mahu berehat sepuas-puasnya. Keputusanku untuk bercuti selama seminggu bermula hari ini diharap dapat membebaskan aku daripada memikirkan urusan kerja yang kadangkala membebankan. Selesai mengemas bilik tidur, aku melangkah ke dapur melayani kehendak perut yang sudah berbunyi dan mencari apa-apa bahan yang boleh dimasak. Tiba-tiba, terdengar suara seseorang memberi salam.

Kelihatan Pak Abu, jiran sebelah rumahku berdiri betul-betul di hadapan pintu pagar rumahku. Dia tersenyum lebar menampakkan barisan giginya yang putih. Timbul tanya di hati kecilku tujuan kedatangan Pak Abu pagi-pagi begini. Persoalanku terjawab tatkala terpandangkan bungkusan plastik yang dijinjingnya. Aku mengukir senyuman kepada Pak Abu. Dia lalu menghulurkan bungkusan itu kepadaku. Katanya, mungkin itu bungkusan terakhir daripadanya kerana selepas ini Pak Abu akan berpindah ke Perlis, negeri kelahirannya.

Aku membelek isi bungkusan tersebut. Ada beberapa ikat ulam pegaga. Aku agak terkejut dengan pemberian itu.Bagai mengerti dengan perubahan air wajahku, Pak Abu menjelaskan sebab dia memberi ulam itu. Rupa-rupanya, dia sengaja ingin memberi aku merasa hasil tanamannya. Tambahnya lagi, ingin beri peluang kepada orang bandar sepertiku menikmati khasiat ulam pegaga. Aku hanya tergelak kecil mendengar kata-kata Pak Abu. Aku menyalami Pak Abu sambil mengucapkan terima kasih. Pasti ketiadaan Pak Abu sekeluarga membangkitkan kerinduanku kepada mereka.

Aku kembali ke dapur dan mengeluarkan ulam pegaga tadi dari plastik. Sudah lama juga aku tidak makan masak lemak ikan semilang yang dicampur sekali dengan ulam pegaga. Kecur air liur dibuatnya. Dulu, inilah makanan kegemaranku sewaktu di kampung. Emak akan berusaha mencari ulam pegaga selain meminta pertolongan Ayah Mat untuk mendapatkan ikan semilang. Sekali makan mesti mahu lagi. Masakan emak sememangnya tiada tandingan.

Entah mengapa, hatiku diruntun pilu mengenangkan emak. Hampir 10 tahun aku berhijrah ke bandar. Selama ini, tidak pernah sekalipun aku menjenguk emak. Air mataku tidak semena-mena tumpah mengenangkan dosa silam. Betapa berdosanya aku kerana mengguris perasaan emak. Bagaimana agaknya kehidupan emak sekarang? Bahagiakah dia? Masih ingatkah dia akan anak tunggalnya ini?



Imbas Kembali


Ketika itu aku baru berusia 19 tahun. Kematian ayah membuatkan kehidupan kami dua beranak bertambah sempit. Apalah yang hendak diharapkan dengan duit emak yang hanya bekerja sebagai peniaga kuih. Ditambah pula dengan tanggungjawab menjaga nenek yang lumpuh. Semuanya amat membebankan. Tapi emak tidak pernah mengeluh.Wajah tuanya selalu tenang. Seolah-olah tiada apa yang perlu dirisaukan. Itulah sebabnya hasratku ingin bekerja di Kuala Lumpur mendapat tentangan emak. Emak sememangnya berharap agar aku dapat membantunya tapi tidak bermakna aku harus berhenti sekolah. Setiap kali aku membangkitkan hal ini, emak tetap mengatakan tidak boleh.

Aku sedar masa depan tidak akan terjamin tanpa ilmu pengetahuan. Namun, keghairahan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur semakin terasa. Aku teringin benar mahu menjejakkan kaki ke sana. Pasti kehidupan di sana serba mewah dan moden. Tidak lagi berfesyen T-shirt lusuh dan kain batik sepertiku. Lihat saja penampilan Dayah dan Farhah. Mereka sudah jauh berubah meninggalkan aku yang masih terkapai-kapai dalam arus pemodenan. Sempat juga mereka mengutuk aku yang dikatakan kolot kerana tidak mengenali jenama Gucci. Kadang-kadang cemburu juga melihat mereka bergaya dengan dengan pakaian berjenama.

Suatu petang, selepas bertemu Dayah dan Farhah, aku pulang ke rumah dengan hati yang berdebar-debar. Aku menghampiri emak lantas menyatakan hasratku. Dalam hati berdoa agar emak memberi kebenaran. Belum sempat aku berkata apa-apa, emak sudah membantah. Emak rupanya sudah ternampak aku berbual dengan Dayah dan Farhah di depan sekolah lama kami. Emak tahu mereka sibuk mengajak aku ke KL. Emak memberi keputusan muktamad. Walau apapun terjadi, aku tidak dibenarkan bekerja sebelum tamat Tingkatan 6, jauh sekali pergi ke KL. Kata emak, kehidupan di KL cukup mencabar. Umpama berjalan di atas titian gantung. Perlu bijak mengawal keseimbangan badan jika tidak mahu terumbang-ambing. Kalau tidak kuat iman, pasti tersungkur di tengah jalan. Aku cuba memberi alasan tetapi dibalas dengan jelingan tajam emak. Kedu sekejap lidahku untuk berbicara. Mahu atau tidak, terpaksa aku menurutnya.


Aku segera pulang setelah membeli barang dapur yang dipesan emak. Hari ini, emak akan memasak lauk kegemaranku. Masak lemak cili padi dengan ulam pegaga. Langkahku terhenti apabila terasa tanganku direntap seseorang. Farhah! Dia menarikku ke tepi jalan. Dia bertanyakan keputusanku untuk ke KL. Aku cuma diam. Lantas, teringat jelingan tajam emak petang semalam. Aku berfikir sejenak. Siapa akan membantu emak sekiranya aku ke bandar? Timbul rasa kasihan dengan keadaan emak yang bersusah payah saban hari. Namun, jiwaku meronta-ronta minta dituruti hasratnya. Aku memandang Farhah yang sudah siap berpakaian cantik. Ah, kali ini aku nekad! Aku mesti melepaskan diri dari dunia kampung. Aku ingin mencari sesuatu yang lebih bermakna. Aku kembali ke kedai Che Hassan sambil ditemani Temah lalu memulangkan barang yang dibeli tadi dan meminta Che Hassan menghantarkannya ke rumahku. Terkebil-kebil dia melihat gerakku yang tergesa-gesa.

Kami tiba di stesen dan menaiki bas ke KL. Berdebar-debar hatiku memikirkan kehidupan yang bakal ku lalui di KL nanti. Kebimbangan hatiku reda setelah Farhah memberi jaminan akan mendapatkan kerja buatku. Seperti orang bodoh, aku mengangguk. Aku mula memasang angan-angan. Aku akan bekerja dan menyimpan duit bagi membantu emak. Niatku hanya ingin membantu emak. Aku tidak mahu susah lagi.

Hampir 5 jam baru kami sampai. Sewaktu Farhah mengangkat begnya, baru aku sedar yang aku langsung tidak membawa apa-apa kecuali dompetku. Hanya berbaju kurung biru muda. Mujur baju ini tidak kelihatan lusuh. Maklumlah, baju raya tahun lepaas. Baru sekali dua dipakai. Kelihatan seorang lelaki segak berbaju kemeja hitam dan berkaca mata hitam tidak jauh dari tempat kami berdiri. Itukah kawan yang dimaksudkan Farhah?

Aku tersentak apabila Farhah mencuit lenganku. Seorang lelaki muda yang bagiku agak selekeh menghulurkan tangan untuk berjabat. Aku menyambut sambil tersenyum nipis. Tanpa melepaskan tanganku, dia bertanya akan namaku. Laju Farhah menyebut nama baruku yang agak unik. Cinta Inn Zulaikha. Tidak terlalu jauh menyimpang dari nama sebenarku.




ilham dari hati: tunggu sambungan cerpen ini...tengs for reading!